VENUE pertandingan ragbi untuk Sukma Melaka di Politeknik, Merlimau pada 10 hingga 19 Jun depan sudah bersedia selepas pelancaran Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Mini Sukma peringkat negeri, baru-baru ini.
Dengan konsep mirip Sukma, kejohanan itu telah mendedahkan semua pegawai dan sukarelawan berkaitan proses pelaksanaan serta pengurusan kejohanan berlandaskan sistem sama pada temasya itu nanti.
Apa yang pasti, ia antara agenda penting mengenal pasti kelemahan dan kekurangan penganjuran demi faedah serta keperluan kejohanan di Melaka kelak.
Pengarah Pertandingan Sukma Melaka, Kamarudin Othman, berkata kejohanan itu adalah pemangkin kepada semua persiapan penganjur bagi memastikan Melaka mampu menjadi tuan rumah terbaik pada edisi kali ini.
Antara pasukan yang menyertai kejohanan itu adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Malacca High School Old Boys, Kolej Yayasan Saad, Malacca Colth, Universiti Multimedia dan Kolej Risda Alor Gajah, selain pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Melaka (MSSM) bagi memberi pendedahan menjelang kejohanan peringkat kebangsaan tahun ini.
“12 pemain negeri telah dipilih untuk membarisi skuad Sukma Melaka dan saya gembira kejohanan itu berjaya menjadi medan mengenal pasti pemain berkualiti,” katanya.
Beliau turut berbangga berikutan semua pegawai dan sukarelawan telah memberi komitmen tinggi terhadap kejayaan penganjuran Sukma Melaka.
0 comments:
Post a Comment